LAWATAN


GARIS PANDUAN UNTUK PERMOHONAN MELANCONG
DI BAWAH PERATURAN (MELANCONG) SEKOLAH 1957
(THE SCHOOLS (TOURS) REGULATIONS 1957)
Pendahuluan
Takrif ‘melancong’ adalah sebagaimana yang diterangkan dalam Peraturan 2(1) dan 2(2) ‘The Schools (Tours) Regulations 1957’.
1.     Peraturan-Peraturan Am Yang Patut Diikuti:
a)     Peraturan (Melancong) Sekolah 1957 “The Schools (Tours) Regulation 1957”
b)    Surat Kementerian Pendidikan Malaysia Bil. KP 8592/L bertarikh 12.7.1966.
c)     Bagi yang menggunakan Bas (Bas Sekolah/Bas Pelancong, dan lain-lain) Kebenaran Pengarah Pengangkutan Jalan hendaklah diperolehi.
2.     Cara memohon:
a)     Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan borang seperti contoh yang dilampirkan. Borang-borang ini hendaklah disediakan sendiri oleh pihak sekolah.
b)    Bagi Lawatan Dalam Negeri permohonan hendaklah dibuat dalam 4 salinan.
3.     Bagi Lawatan Keluar Negeri:
a)     Tiap-tiap permohonan hendaklah dalam 6 salinan.
b)    Tambahan satu salinan bagi tiap-tiap satu negeri yang dilawati.
Contoh: (Ke Bandar Melaka di Negeri Melaka), ( Port Dickson di Negeri Sembilan)  (Kuala Lumpur di Wilayah Persekutuan )=  3 Negeri : ( 6 + 3 = 9 salinan )
c)     Tentukan semua maklumat yang dikehendaki diisi dengan lengkap.
d)    Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan kepada Guru Besar / Pengetua sekolah 6 minggu sebelum tarikh lawatan.
e)     Guru Besar / Pengetua hendaklah menyampaikan borang tersebut kepada Pendaftar Sekolah-Sekolah Negeri Melaka , Jabatan Pendidikan Negeri Melaka,  5 minggu sebelum tarikh lawatan.
f)     Sertakan sampul surat beralamat sendiri tanpa setem.
g)    Surat kebenaran bertulis ibu bapa / penjaga tidak perlu dihantar kepada Pendaftar Sekolah-Sekolah Negeri Melaka.
4.     Panduan Mengisi Borang:
a)     Permohonan hendaklah ditandatangani sendiri oleh Guru Besar / Pengetua. (Sebab-sebab hendaklah diberi jika penandatangan bukan Guru Besar / Pengetua).
b)    Bahagian Butir-Butir Berkenaan Wang: (Maklumat hendaklah mengandungi):
1.     Jumlah wang yang dipungut.
2.     Punca wang sama ada dari murid-murid, guru, PIBG, Jemaah Pengurus / Pengelola, Peruntukan Kementerian atau subsidi Jabatan atau lain-lain punca (sebutkan punca itu).
3.     Jika daripada murid-murid, catatkan jumlah bayaran yang dikenakan bagi seorang murid.
4.     Jumlah bayaran sewa bas, makan minum, bayaran tiket masuk ke tempat yang dilawati, bayaran tempat penginapan dan bayaran-bayaran lain (jika ada).
5.     Maklumat orang / orang-orang yang dibenarkan memungut dan membelanjakan wang.
5.     Bahagian Tempat-tempat Yang Dilawati:
a)     Dibahagian ini hendaklah dicatatkan semua nama-nama tempat yang hendak dilawati termasuk nama negeri yang berkenaan.
1.     Tarikh dan masa
2.     Nama tempat bermalam, jika bermalam.
b)    Senarai peserta hendaklah mengandungi maklumat-maklumat berikut:
1.     Nama Penuh (Contoh: Ahmad bin Hassan, Vellu a/l Subramaniam, Lim Peng Kee).
2.     Nama Dalam Tulisan Cina bagi peserta keturunan Tionghua.
3.     Jantina (Catatkan ”L” bagi lelaki dan ”P” bagi perempuan).
4.     Darjah / Tingkatan (jika bukan murid, catatkan perihalnya).
5.     Umur
6.     Alamat tempat tinggal. Jangan gunakan alamat sekolah kecuali jika murid yang berkenaan tinggal di asrama.
6.     Hal-Hal Lain:
a)     Persetujuan bertulis daripada ibu bapa / penjaga murid hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum lawatan diadakan. Perakuan kebenaran bertulis ibu bapa / penjaga hendaklah mengikut format yang dilampirkan.
b)    Jika peserta rombongan melibatkan murid-murid dari sekolah lain, kebenaran bertulis Guru besar / Pengetua hendaklah diperolehi.
7.     INGATAN:
a)     Peraturan keselamatan hendaklah diterangkan kepada murid-murid dan guru sebelum lawatan itu dibuat.
b)    Alat pertolongan cemas hendaklah dibawa bersama semasa lawatan.
c)     Kebenaran Pendaftar Sekolah-Sekolah Negeri Melaka hendaklah diperolehi terlebih dahulu jika hendak meminda atau menangguhkan tarikh lawatan. Dalam hubungan ini Pendaftar Sekolah-Sekolah Negeri Melaka boleh meminta pihak sekolah membuat permohonan baru.
d)    Sekiranya lawatan berkelompok yang melibatkan beberapa buah sekolah, permohonan hendaklah dibuat melalui salah seorang Guru bedar / Pengetua sekolah-sekolah yang berkenaan dan permohonan hendaklah dibuat atas nama Guru Besar /Pengetua sekolah yang berkenaan.
e)     Sebarang pertukaran peserta atau tambahan peserta adalah tidak dibenarkan.
f)     Jika peserta rombongan terdiri daripada murid lelaki dan perempuan, guru pengawasnya hendaklah terdiri daripada guru lelaki dan perempuan.
g)    Untuk mengadakan kawalan yang lebih berkesan bilangan guru pengawas hendaklah bersesuaian dengan ramai murid.
h)     Permohonan yang diterima kurang daripada 5 minggu tanpa sebab-sebab yang munasabah tidak akan dilayani.
i)      Ketua rombongan atau guru pengawas hendaklah setiap masa memastikan bilangan peserta rombongan cukup sebelum bertolak ke sesuatu tempat atau berlepas balik.
j)      Jika ibu bapa / penjaga telah diberitahu tentang masa ketibaan rombongan di tempat menunggu (Perjalanan balik), jika berlaku sebarang kelewatan, hendaklah diberitahu kepada ibu bapa / penjaga terlebih dahulu. Dari segi ini hendaklah ditugaskan seorang murid untuk menerima maklumat supaya dapat disampaikan kepada ibu bapa / penjaga.
k)     Bagi tujuan lawatan ke luar negara, kemukakan permohonan ke Unit Perhubungan dan Pendaftaran JPNM dalam 4 permohonan lawatan, 3 kertas kerja ( tujuan, objektif lawatan, senarai ahli jawatankuasa lawatan dan inteneri) dan satu salinan Lampiran A yang telah diluluskan oleh Pengarah Pelajaran Melaka sebelum dipanjangkan ke Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tujuan kelulusan TIGA BULAN SEBELUM tarikh lawatan.
l)      Guru-guru Pengiring lawatan ke Luar Negara perlu mendapatkan kelulusan dari Unit Perkhidmatan , JPN Melaka terlebih dahulu.
m)   Pelajar yang mewakili agensi luar bagi sebarang aktiviti di luar negara juga perlu mendapatkan kebenaran dari Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia terlebih dahulu dengan mematuhi prosedur seperti mana di atas.

Peraturan ini dibaca bersama:

1.     Surat Pekeliling Ikhtisas 5/2002 Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan
2.     Surat Edaran Bahagian Sekolah, KPM (BS/HEP)8543/41/Jld III/(15)
3.     Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/ 2009 Langkah-langkah Keselamatan Semaa Mengikuti Aktiviti/ Program Lawatan di Luar Waktu Persekolahan.
4.     Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/ 2007 Garis Panduan Lawatan Murid
5.     Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/ 2000 Lawatan Pendidikan Murid Di Hari Persekolahan.
6.     Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/ 2002 Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan.