DASAR 1M1S


1MURID 1SUKAN

1.     PENGENALAN
1.0          1Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurangkurangnya satu jenis sukan di sekolah.
1.1          Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang berhasrat untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Di samping itu, dasar ini memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya murid yang kurang aktif atau tidak aktif.
1.2          Dasar ini juga membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah dan seterusnya memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi digilap ke tahap yang lebih tinggi.
1.3          Selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, dasar ini dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi, iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan.
1.4          Justeru, setiap murid melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.
1.5          Aktiviti sukan di sekolah adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan murid. Bagi mencapai kecemerlangan sukan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah.
1.6          Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu.

2.     PERNYATAAN DASAR
2.0          Memastikan setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan didaftarkan untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan daripada pelbagai jenis sukan yang ditawarkan oleh pihak sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah.
2.1          Memastikan pihak sekolah membuat perancangan bagi pengurusan aktiviti sukan di sekolah secara sistematik supaya dapat meningkatkan penyertaan dan membantu perkembangan potensi setiap murid dalam sukan.
2.2          Memastikan pihak sekolah mengoptimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada di sekolah atau kawasan persekitaran dengan mengutamakan keselamatan murid.
2.3          Memastikan semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya bagi murid yang kurang aktif atau tidak aktif.
2.4          Memastikan pembangunan sukan sekolah dapat meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah.
2.5          Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi dalam sukan untuk mencapai ke tahap yang lebih tinggi.

3.     STRATEGI PELAKSANAAN
3.0          Memperluas pelaksanaan 1M 1S kepada semua murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan dengan mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan.
3.1          Meningkatkan penglibatan murid dengan menawarkan lebih daripada satu jenis sukan mengikut kemampuan murid dan jenis sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah.
3.2          Menambah baik kualiti pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah.
3.3          Mengutamakan penyertaan aktif oleh semua murid dalam pelbagai aspek aktiviti sukan.
3.4          Meningkatkan penglibatan ibu bapa dan agensi luar/rakan sukan untuk memberi sumbangan kepada pembangunan sukan sekolah.
3.5          Meningkatkan aktiviti sukan di sekolah supaya dapat diadakan sepanjang tahun berdasarkan aktiviti rumah sukan dan kelab sukan seperti mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah sukan, dormitori asrama dan kelab sukan sekolah. Kejohanan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.
3.6          Mewujudkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai agensi bagi program pembangunan sukan sekolah.
3.7          Mengoptimumkan penggunaan prasarana, kemudahan dan peralatan sukan bagi meningkatkan penyertaan aktif setiap murid.
3.8          Memperluas peluang kepada semua murid yang berpotensi tinggi dalam sukan meraih kejayaan melalui penyertaan di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD)/ Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN)/ Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta peringkat antarabangsa.
3.9          Meningkatkan kesedaran murid untuk menceburi bidang sukan sebagai kerjaya profesional pada masa hadapan.